Thursday, September 11, 2014

BAB 4 - PEMBANGUNAN NEGARA

4.2    Dasar-dasar utama Malaysia
4.2.1 Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan didefinisikan sebagai kebudayaan keseluruhan cara hidup manusia. Kebudayaan penting dalam proses pembangunan negara kerana keperibadian Malaysia mesti dipupuk melalui usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ianya memerlukan kerjasama dan penglibatan semua lapisan masyarakat.Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum. Maka , proses pembentukan kebudayaan nasional mestilah melakukan sebuah perancangan yang teliti dan rapi agar dapat melahirkan cara hidup yang harmoni.
Buat pengetahuan semua pembaca, Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah diperkenalkan pada tahun 1971 di Malaysia. Ianya lahir daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Dasar ini ditubuhkan sebagai garis panduan dalam membentuk,mewujud dan mengekalkan identiti negara. Penggubalan dasar mestilah mempertimbangkan fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara. Contohnya seperti negara sebagai pusat pertemuan,pusat perdagangan dan pusat tamadun. Negara kita menjadi pusat-pusat tersebut sejak dua ribu tahun lampau.Peranannya adalah sebagai pusat pertemuan. Ia telah melahirkan beberapa proses seperti interaksi,pengenalan,penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas. 

Kebudayaan Kebangsaan Malaysia berlandaskan TIGA prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan :  
      I.     Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia , Indonesia, Filipina , Singapura , Brunei,Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia,Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun Melayu. Rantau ini adalah pusat pemancaran,pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman.

     II.     Unsur Kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik,sentiasa berubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum. Dengan unsur-unsur budaya Cina,India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

     III.     Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berpribadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang usaha bagi mengisi kehendak emosi dan fizikal kerana ia patut jadi unsur utama dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:
a) Pemulihan,pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas kebudayaan kebangsaan melalui usahasama penyelidikan,pembangunan,pendidikan,pengembangan dan perhubungan budaya

b) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha membimbing dan melatih peminat menggerakkan kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan.

c) mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan,kenegaraan dan nasionalisme Malaysia

d) Memenuhi keperluan sosiobudaya

e) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.
 Kesimpulannya dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa. Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dicapai dalam masa singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini. Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum. Kebudayaan. Dasar ialah dasar yang dibina oleh kerajaan yang mampu menyatukan rakyat Malaysia dari sudut kebudayaan. Secara tidak langsung mampu menggambarkan keharmonian dan penyatuan masyarakat Malaysia walaupun rakyat Malaysia berbeza agama dan pegangan masing-masing. Tuntasnya dasar kebudayaan ini mampu mewujudkan sebuah negara yang lebih makmur dan memiliki masyarakat yang lebih hormat-menghormati.


Sekian, terima kasih daripada saya,
Nurul Azwa Binti Kasim.

No comments:

Post a Comment