Wednesday, September 10, 2014

BAB 2 - PERLEMBANGAAN MALAYSIA

Pendahuluan

Konsep, dan ciri-ciri Perlembagaan Malaysia membawa makna yang besar kepada rakyat Malaysia khususnya. Perlembagaan merupakan elemen penting dalam amalan sistem politik demokrasi. Ia adalah satu kumpulan peraturan atau undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan, pembahagian hak dan kuasa, prosedur, panduan kepada kerajaan dan rakyat. Ia adalah undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara. Ia berbentuk bertulis yang didokumentasikan dan juga tidak bertulis iaitu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan juga keputusan mahkamah.

Mengenai ciri-ciri perlembagaan Malaysia, ianya menceritakan mengenai betapa penting dan wajibnya perlembagaan Malaysia terhadap Malaysia kerana sistem pemerintahan dan pentadbiran negara Malaysia selepas merdeka adalah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Negara kita mengamalkan sistem Kerajaan Persekutuan iaitu kuasa pentadbiran diagihkan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Negara kita juga banyak lambang kebangsaan seperti lagu kebangsaan, bendera kebangsaan, dan jata negara.

           Selain itu, ciri-ciri perlembagaan Malaysia adalah dokumen rasmi dan di dalamnya terdapat segala peraturan dan prinsip sebagai panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasanya dan mentadbir negara. Seterusnya, untuk mewujudkan perpaduan antara kaum dan hidup sepakat dalam pelbagai kaum di Malaysia.

Perlembangaan



Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan sesebuah negara itu dijalankan. Perlembagaan menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara itu, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah. Perlembagaan bertujuan untuk memastikan kewujudan sebuah pemerintahan yang adil, menggelakkan penyalahgunaan kuasa, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat serta menjamin keamanan dan kestabilan negara. Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan berperanan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan perlembagaan bertulis yang mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual yang meliputi kuasa eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewargenegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain lagi. Tidak ada undang-undang atau institusi boleh melangkaui perlembagaan sebagaimana termaktub dalan Perkara 4(1) iaitu; “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama bagi Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang bertentangan dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat yang bertentangan itu”.
Profesor Dicey berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja iaitu Prinsip Kedaulatan Parlimen dan Prinsip Kedaulatan Undang-Undang. Walau bagaimanapun, seperti mana yang dijelaskan oleh Tun Mohamad Salleh Abas (dalam Salleh Abbas, 1986), takrif yang diberikan tersebut tidak mencukupi kerana apa yang terkandung dalam perlembagaan itu merangkumi sesuatu yang lebih luas. Beliau juga telah menjelaskan bahawa perlembagaan itu ialah suatu surat atau surat cara yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi mewujudkan sebuah negara yang moden.

Sejarah Perlembangaan Malaysia

Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan Kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tahun 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil
Kerajaan British, penadihat Majlis Raja-Raja dan Pemimpin-Pemimpin parti.

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan. Memorandum yang disebut sebagai Pakatan Murni iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.

Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957.

Tujuan Perlembangaan

1. Menjamin Keutuhan dan Kedaulatan Negara

Perlembagaan boleh menjamin keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Ia merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi dalam menetuka hala tuju sesebuah negara. Tanpa perlembagaan rakyat sesebuah negara tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia mereka dalam mendirikan sebuah negara yang makmur dan utuh. Semangat nasionalisme tidak akan wujud di kalangan rakyat yang tidak memikirkan dan mencintai negara mereka. Apabila semangat ini tidak terdapat di dalam diri seseorang rakyat, maka tidak akan wujud semangat patriotisme di dalam jiwa mereka sebagai satu syarat untuk menyumbangkan tenaga mereka terhadap negara. Justeru itu, negara menjadi lemah. Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan yang utuh, pemerintahan yang kuat, musuh dengan mudah mengambil alih kerajaan atau tampuk pemerintahan negara. Jadi dengan adanya perlembagaan negara, rakyat dapat berpegang kepada satu undang-undang yang diamalkan dan dihormati bersama untuk memastikan kewujudan sebuah negara yang berdaulat.

2. Sebagai Rujukan

Dengan adanya perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, pihak-pihak yang bertentangan antara satu sama lain boleh menjadikan ia sebagai sumber rujukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Keadaan tegang akibat daripada perasaan tidak puas hati dapat dielakkan jika rakyat diwajibkan menurut dan menghormati apa yang tercatat di dalam perlembagaan. Masalah ketidakfahaman boleh diselesaikan dengan tenang berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Apabila semua pihak yang bertentangan duduk membincangkan masalah mereka secara bersama, maka masalah yang mungkin timbul tidaklah begitu sukar diselesaikan. Justeru itu, dengan adanya perlembagaan sebagai sumber rujukan utama dari segi perundangan ia dapat menyesuaikan konflik yang berlaku di dalam sesebuah negara dengan lebih mudah.

3. Mewujudkan Kestabilan Negara

Walaupun pada dasarnya perlembagaan boleh dipinda, namun ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebarang pindaan perlembagaan yang dilakukan dalam mana-mana negara, ia mestilah berdasarkan perlembagaan juga. Jika pindaan boleh dilakukan dengan mudah dan mengikut kehendak pemimpin-pemimpin (penggubal), maka ini akan menghasilkan satu keadaan kucar-kacir di mana pemimpin itu mungkin bertindak sesuka hatinya dan mengabaikan kemahuan rakyat. Oleh itu, jelas betapa perlunya perlembagaan bagi mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara.

4. Mengawal Perjalanan Kerajaan

Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin dapat diketahui atau dipastikan. Ini kerana segala tindak-tanduk mereka mestilah berdasarkan kepada perlembagaan yang telah dicatatkan, bukan bertindak mengikut sesuka hati. Oleh itu, pihak pemerintah tidak dapat melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyeleweng daripada perlembagaan. Ini bererti perlembagaan dapat menjamin agar pihak pemerintah tidak berlaku curang atau menyalah guna kuasa yang diperuntukkan kepada mereka.

5. Mengekalkan Keamanan

Perubahan pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya tidak akan menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan. Ini kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang mestilah mempunyai cita-cita atau konsep yang sama dalam mengendalikan negaranya. Mereka sepatutnya memerintah negara dengan tujuan yang sama sebagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu yang memerintah. Oleh itu, walaupun terdapat pertukaran pemimpin, tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar daripada maksud berusaha memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

6. Perlembagaan Menjamin Keamanan Sesebuah Negara

Dengan adanya perlembagaan rakyat mendapat jaminan undang-undang bahawa tidak akan ada unsur-unsur diskriminasi di kalangan mereka. Pembahagian kuasa dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan antara rakyat dengan pemerintah serta badan perundangan telah memisahkan antara satu sama lain daripada melakukan penindasan dan salah guna kuasa. Tidak ada pihak mendapat keistimewaan dari segi undang-undang, sebaliknya semua orang harus menghormati dan mematuhi perlembagaan negara. Sikap ini boleh membantu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk membolehkan mereka hidup aman damai.

Ciri-ciri Perlembangaan Malaysia

Ianya telah diperkenalkan pada 16 september 1963. Perlembagaan Malaysia ini mengandungi 183 perkara. Ianya mengandungi pelbagai peruntukan seperti:

i. Senarai Kerajaan Persekutuan
ii. Senarai Kerajaan Negeri
iii. Institusi Yang di-Pertuan Agong
iv. Parlimen- Jemaah Menteri
v. Badan kehakiman

 Malaysia juga merupakan sebuah negara persekutuan. Oleh sebab itu, Perlembagaan Malaysia telah membahagikan kuasa antaranya ialah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Negeri-negeri yang telah bergabung dengan Persekutuan Malaysia diberikan hak,kuasa,dan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri. Perlembagaan Malaysia telah mewujudkan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri, dan Senarai Bersama. Perlembagaan Malaysia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Keluhuran Perlembagaan, Kepentingan Perlembagaan, dan Pindaan Perlembagaan.

Keluhuran Perlembangaan

Keluhuran Perlembagaan merupakan prinsip yang ketiga dalam Rukun Negara di antara lima prinsip Rukun Negara. Keluhuran Perlembagaan bermaksud keagungan dan ketertinggian undang-undang atau perlembagaan itu. Keluhuran Perlembagaan Malaysia juga mengatasi ketertinggian:

i. Yang di-Pertuan Agong
ii. Parlimen
iii. Jemaah Menteri
iv. Mahkamah

Semua peraturan atau undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia adalah tidak sah. Undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang yang bercanggah atau bertentangan denga Perlembagaan Persekutuan akan terbatal dengan sendirinya Ini telah dinyatakan dalam perkara 75. Mahkamah berkuasa untuk menjaga keluhuran dan perlembagaan supaya tidak tercabar an terjejas oleh mana-mana undang-undang. Contoh ketertinggian Perlembagaan kita dalam kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

i. Kuasa Yang di-Pertuan Agong ditetapkan oleh perlembagaan tetapi kedudukan baginda                  
        mengatasi undang-undang iaitu tidak boleh didakwa di mahkamah.
ii. Keadaan ni menunjukkan bahawa baginda telah mendapat kuasa daripada Perlembagaan.

Semua pemerintah juga mendapat kuasa daripada perlembagaan , ini jelas menunjukkan bahawa perlembagaan merupakan dokumen rujukan Negara. Dalam perlembagaan terdapat beberapa  perkara yang tidak boleh dipersoalkan antaranya termasuklah:

i. Agama Islam sebagai agama rasmi
ii. Kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak
iii. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai lambang semangat kebangsaan dan perpaduan negara
iv. Kedudukan raja-raja Melayu yang menjadi lambang tradisi kerajaan


Pindaan Perlembangaan

     Kepentingan Perlembagaan bertujuan untuk menjamin kestabilan sesebuah Negara dengan menentukan rangka dan bentuk pentadbirannya. Selain itu, kepentingan perlembagaan adalah menjamin keadilan, kecekapan, kejujuran, ketelusan, serta kelicinan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah kerajaan. Setiap pemimpin memerlukan perlembagaan semasa memerintah agar pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat. Kepentingan perlembagaan juga adalah untuk menjamin ketaatan rakyat kepada Negara. Rakyat juga perlu berpegang pada matlamat yang sama supaya semangat patriotisme dapat dibentuk.

      Seseorang yang bukan rakyat Malaysia akan dilucutkan kewarganegaraannya menerusi perkara 24 Perlembagaan Malaysia. Manakala dalam perkara 25 pula, seseorang warganegara boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada Negara ini. Kedua-dua perkara ini diperuntukkan dalam perlembagaan supaya rakyat memberikan sepenuh ketaatan kepada tanah air untuk mengekalkan identiti bangsa dan Negara Malaysia. Selain itu, kepentingan perlembagaan Malaysia adalah untuk menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di Negara ini. Beberapa kebebasan yang dimaksudkan dalam perlembagaan Malaysia adalah:

i. Kebebasan diri
ii. Kebebasan bercakap
iii. Kebebasan memiliki harta(perkara 13)
iv. Kebebasan beragama(perkara 11)
v. Hak sama rata di sisi undang-undang perkara 8

Rakyat akan mengetahui bahawa setiap masyarakat mempunyai had kebebasan mereka di sisi undang-undang. Perlembagaan Malaysia dalam perkara 153 memperuntukan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga dan memelihara hak istimewa serta kedudukan orang melayu dan bumiputera di Sarawak dan Sabah. Antara hak istimewa tersebut termasuklah pemberian jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pemberian kemudahan pendidikan, pemberian lesen perniagaan dan perdagangan. Perkara 153 dalam perlembagaan juga memastikan pelaksanaan tersebut dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mengabaikan kaum-kaum lain di Malaysia. Selain itu, kepentingan perlembagaan juga adalah untuk menjamin kerjasama, keadilan, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Perlembagaan juga dijadikan rujukan utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri supaya:

i. Sistem pentadbiran Negara dapat diselaraskan tanpa sebarang perbalahan
ii. Perlembagaan Negeri tidak bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia

Kepentingan Perlembagaan Malaysia juga menjamin kedudukan hak istimewa orang melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini adalah jaminan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia sebelum Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Kerajaan Persekutuan menggunakan senaria kuasanya untuk membangunkan Sabah dan Sarawak. Kesannya, berlaku pembangunan yang pesat khususnya di kawasan pedalaman dalam bidang pendidikan dan kesihatan serta perkhidmatan pos, telekom, dan polis.

Pindaan Perlembangaan

Perlembagaan boleh dipinda dari semasa ke semasa. Sejak tahun 1957, Perlembagaan Malaysia telah dipinda beberapa kali. Tujuan pindaan perlembagaan adalah melindungi kepentingan rakyat, menjaga keselamatan Negara, dan melicinkan pentadbiran. Selain itu, tujuan pindaan perlembagaan ialah supaya sentiasa sesuai dengan keperluan semasa menjadikan perlembagaan sebagai undang-undang yang munasabah dan kandungannya dipatuhi oleh rakyat dengan rela hati dan melarang perkara sensitif dipersoalkan secara terbuka.

    Antara perkara sensitif dalam perlembagaan yang tidak boleh dipersoalkan termasuklah Pemerintahan Beraja, Agama Islam, Kedudukan Bahasa Melayu, dan Hak istimewa orang Melayu. Parlimen telah meluluskan pindaan Akta Hasutan 1970 bagi mengehadkan seseorang daripada bercakap sewenang-wenangnya sehingga menyentuh perkara sensitif yang boleh mencetuskan rusuhan kaum. Tujuan Akta adalah untuk memelihara keharmonian, keselamatan, dan ketenteraman masyarakat berbilang kaum di Negara kita. Satu pindaan besar yang telah dilakukan ialah pemansuhan imuniti (kekebalan) bagi Yang di-Pertuan Agong dan raja yang memerintah negeri daripada kesalahan jenayah.

Cara Pindaan dan Perkara Pindaan

Pindaan Cara Pertama

-Persetujuan majoriti lebih suara dua per tiga Dewan Parlimen.
-Persetujuan Majlis Raja-raja
-Tugas dan kuasa Majlis Raja-Raja Melayu
-Keutamaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri
-Jaminan takhta
-Kewarganegaraan
-Kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sarawak dan Sabah
-Perubahan undang-undang yang mengubah sempadan negeri

Pindaan Cara Kedua

- Persetujuan majoriti lebih suara dua per tiga Dewan Parlimen
- Mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan Sabah

Meliputi perkara yang berkaitan dengan:
- Keanggotaan dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di Sarawak dan Sabah
- Hak dan kuasa kepada Kerajaan Negeri tentang kuasa menahan kemasukan orang yang bukan dari
  Sarawak dan Sabah (Akta Imigresen 1961)
- Perkara perundangan dan pemerintahan kuasa negeri, agama, Bahasa, dan hak istimewa orang Melayu dan    bumiputera di Sarawak dan Sabah


Pindaan Cara Ketiga

- Memerlukan persetujuan lebih suara dua per tiga Dewan Parlimen
- Perkara-perkara yang tidak termasuk dalam mana-mana tiga kaedah pindaan

Pindaan Cara Keempat
- Perkara yang boleh dipinda dengan hanya mendapat lebih suara Dewan Parlimen
- Pindaan jadual 2, 6, dan 7, Bahagian 3 Perlembagaan tentang kewarganegaraan, bentuk sumpah, ikrar,
   pemilihan, dan persaraan ahli Dewan.
- Pindaan yang melibatkan Perkara 74 dan 76 dalam Perlembagaan.
- Perkara 74

i. Berkaitan dengan perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama Senarai Persekutuan
- Hal ehwal luar Negara, pertahanan, keselamatan dalam negeri, dan undang-undang masalah jenayah
   Senarai Negeri
- Hukum syarak, tanah, pertanian, perhutanan, penyu, dan perikanan di sungai
   Senarai Bersama
- Kebajikan masyarakat biasiswa, perlindungan binatang liar, dan burung liar serta perancangan Bandar dan
   desa
- Perkara 76

ii.Parlimen boleh membuat undang-undang dalam Senarai Negeri yang melibatkan pelaksanaan persetiaan, perjanjian, dan konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana Negara lain


Penutup

Ianya adalah penting bagi mengetahui dan memahami akan perlembagaan Malaysia. Dengan adanya pengetahuan mengenai perkara tersebut, Negara tanah air kita pasti akan terlindung dan ada akan keistemewaannya yang tersendiri. Selain itu, dengan ini juga, rakyat dapat berpegang kepada satu undang-undang yang diamalkan dan dihormati bersama untuk memastikan kewujudan sebuah negara yang berdaulat. Dengan adanya perlembagaan sebagai sumber rujukan utama dari segi perundangan ia dapat menyesuaikan konflik yang berlaku di dalam sesebuah negara dengan lebih mudah.

Walaupun terdapat pertukaran pemimpin, dengan Perlembagaan Malaysia tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar daripada maksud berusaha memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat. Ini bererti perlembagaan dapat menjamin agar pihak pemerintah tidak berlaku curang atau menyalah guna kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Oleh itu, jelas betapa perlunya perlembagaan bagi mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara. Hal ini boleh membantu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk membolehkan mereka hidup aman damai.

           Selain itu, pentingnya perlembagaan Malaysia adalah untuk menjamin hak asasi manusia dan memberi kenikmatan kepada semua yang berwarga kewarganegaraan. Seterusnya, perlembagaan juga dapat mengelakkan daripada berlakunya rusuhan antara kaum dan dapat mengeratkan hubungan dalam perpaduan Negara. Kepentingan perlembagaan juga adalah untuk menjamin kestabilan Negara dari segi kebebasan rakyat bersuara dan memberi pandapat masing-masing untuk keselesaan bersama.

           Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita perlulah bersatu dan bekerjasama bagi mencapai kata sepakat dalam membuat perlembagaan ini menjadi kenyataan yang  akan ditelusuri oleh angkatan muda pada masa hadapan untuk mereka jadikan sebagai panduan untuk memimpin Negara yang berdaulat ini.Selain itu,perlembagaan ini penting bagi menjadikan Malaysia sebagai Negara yg lengkap dari segi politiknya demi keamanan dan keharmonian Negara.



Sekian, terima kasih daripada saya,
Nur Syahirah binti Abdullah.

2 comments: